Thursday, 3 October 2013

REKREASI DAN PENDIDIKAN KHAS

1.0              PENGENALAN

Aktiviti sukan adalah salah satu aktiviti yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta memerlukan tenaga yang banyak. Manakala, aktiviti rekreasi adalah kegiatan yang dapat menyegarkan kembali kesihatan individu serta boleh melapangkan fikiran. Berdasarkan kajian yang dijalankan, didapati aktiviti rekreasi atau senaman lebih diminati berbanding sukan. (Sumber: Kementerian Belia dan Sukan)

Penglibatan murid berkeperluan khas dalam aktiviti rekreasi amat digalakkan di samping memberi faedah-faedah yang membantu dalam kehidupan mereka nanti. Individu berkeperluan khas mengikut Abdullah Yusof et al. (2006) terdiri daripada lapan kategori iaitu kurang upaya fizikal dan kesihatan, kurang upaya pembelajaran, gangguan emosi dan tingkahlaku, pintar cerdas, kurang upaya mental, kurang upaya petuturan atau bahasa, kurang upaya penglihatan dan kurang upaya pendengaran.

Aktiviti rekreasi bukanlah satu konsep yang terpisah dari kurikulum pendidikan. Ia sebenarnya aktiviti amali sebagai lanjutan daripada matapelajaran di dalam bilik darjah. Pengetahuan mata pelajaran diintegrasikan dalam aktiviti praktikal secara menjalani gerak kerja dalam bentuk gunaan ( applied ). Dengan kata lain, aktiviti rekreasi mempunyai berbagai jenis aktiviti yang dapat dijadikan sumber pendidikan yang bermatlamatkan kesuburan optimum individu. Antara aktiviti rekreasi yang sesuai dilakukan oleh murid berkeperluan khas ialah sukaneka, perkhemahan, aktiviti kecergasan fizikal, kembara hutan, senamrobik, bowling, berkuda, berenang, latihan dalam kumpulan dan sebagainya.

Oleh itu penglibatan, murid berkeperluan khas dalam aktiviti rekreasi sangatlah digalakkan  kerana  mendatangkan pelbagai faedah kepada pekembangan kognitif, emosi, sahsiah, bahasa, dan sosial murid-murid berkeperluan khas ini.
                                                                                                                 

2.0              DEFINISI

Istilah rekreasi berasal dari perkataan Latin, recreatio yang bermaksud menyegarkan. Rekreasi dianggap sebagai masa untuk melakukan aktiviti yang merehatkan dan menyeronokkan. Rekreasi juga merupakan aktiviti yang dapat merehatkan manusia dari kerja. Ia berkaitan dengan perkataan Latin, re-creare, yang bererti membuat ulang, yang membawa maksud kegiatan yang dilakukan untuk penyegaran kembali jasmani dan rohani seseorang.
Menurut salah satu artikel yang dikarang oleh Karen Depauw (2009) , dalam buku yang bertajuk  Disability and youth sport, beliau membincangkan mengenai aktiviti rekreasi dan sukan telah bertempat sejak zaman dahulu lagi. Aktiviti rekreasi ini boleh dilakukan oleh pelbagai peringkat umur dan sebahagian besar aktiviti ini melibatkan senaman fizikal, dan banyak melibatkan pergerakan termasuk dalam pendidikan jasmani, terapi dan aktiviti bersukan. 
Menurut Collins Australian Pocket English Dictionary, rekreasi bermaksud sebarang bentuk permainan atau aktiviti yang digunakan bagi tujuan menyegarkan kembali badan dan aktiviti minda.  Menurut Grant Cushman dan Allan Laidler (1990) pula , rekreasi boleh dianggap sebagai satu aktiviti lapang yang menyeronokkan dan dinikmati yang dilihat juga sebagai salah satu aspek bagi tujuan pembentukan institusi sosial.
Menurut artikel yang ditulis oleh Hayley fitzgerald (2009)  dalam bukunya yang bertajuk Disability and youth sport, beliau membincangkan mengenai kehidupan sosial murid berkeperluan khas berkembang semakin baik dari tahun ke tahun. Ini kerana, telah wujud satu kesedaran mengenai kurikulum yang sepatutnya dilaksanakan kepada mereka setaraf dengan pelajar yang normal. Namun begitu, walaupun perkembangan positif telah dikesan dalam hal ini, tidak semua  murid berkeperluan khas menikmati perkembangan dan diterap kedalam aktiviti-aktiviti rekreasi, oleh itu, golongan murid ini kekal menjadi orang asing didalam masyarakat dan kehidupan sosial mereka tidak berkembang (Filmer, 2005; Watermeyer et. al, 2006; Loeb et. Al. 2008).
Menurut Salleh Aman (2004) Rekreasi sebagai aktiviti masa lapang yang membina (positif) sama ada bentuk riadah bersifat aktif  atau santai bersifat pasif. Manakala menurut Abu Bakar Yang (2001) Rekreasi meliputi berbagai-bagai aktiviti yang selalu dilakukan oleh anggota masyarakat pada masa lapang seperti bersukan, bermain, mendengar muzik, melukis, bersiar-siar, bercuti dan sebagainya.
Menurut Meyer & Brightbill (1956), rekreasi membawa maksud aktiviti yang dijalankan di waktu lapang dan dimotivasikan oleh kepuasan yang dicapai daripadanya. Aktiviti rekreasi lazimnya dijalankan dengan mengambil masa yang lama. Oleh itu,ia memerlukan waktu lapang agar aktiviti lain tidak terganggu olehnya. Kepuasan yang dicapai melalui aktiviti rekreasi ini bermaksud, apabila seseorang melaksanakan aktiviti rekreasi berbentuk pertandingan sebagai contoh, apabila beliau menang dalam pertandingan tersebut, satu kepuasan akan dicapai.
            Oleh itu, boleh disimpulkan aktiviti rekreasi ialah  aktiviti bagi mengisi masa lapang. Aktiviti ini dilakukan untuk mendapat keseronokan, kepuasan, ketenangan minda dan merehatkan badan. Ianya merupakan aktiviti yang menghiburkan selain daripada pekerjaan, melengkapkan tenaga untuk kerja atau sesuatu yang positif dan diterima oleh masyarakat sebagai pengalaman. Aktiviti yang dipilih adalah secara sukarela dan penglibatannya terserah pada individu. Dalam aktiviti rekreasi tidak ada peraturan tertentu, maka aktiviti rekreasi boleh dijalankan dan diberhentikan pada bila-bila masa dan ianya dalam bentuk sejagat.
3.0              JENIS REKREASI

Terdapat dua jenis rekreasi iaitu rekreasi aktif dan rekreasi pasif.

3.1              Rekreasi aktif

Rekreasi aktif merupakan satu senaman. Oleh itu, kebaikan dan sumbangannya terhadap gaya hidup sihat adalah amat besar. Rekreasi aktif memerlukan pergerkan yang cergas untuk memastikan tahap daya kardiovaskular mencapai tahap ideal. Dengan melakukan senaman aktiviti sukan dan perkara-perkara yang mengeluarkan peluh, seseorang itu akan berasa lebih segar

3.2              Rekreasi pasif

Rekreasi pasif merupakan aktiviti yang santai dan tidak memerluakn tenaga yang banyak. Rekreasi pasif berupaya membantu murid-murid berkeperluan khas menghilangkan tekanan dan rasa bosan. Antara aktiviti yang tergolong dalam rekreasi ini ialah mendengar muzik, dan bersiar-siar.


4.0              AKTIVITI REKREASI

Terdapat beberapa aktiviti yang sesuai dilakukan ketika melakukan aktiviti rekreasi yang melibatkan murid berkeperluan khas antaranya ialah

 PERKHEMAHAN
Borhanudin Abdullah et. al (2006). Salah satu kegiatan rekreasi yang sering dijalankan ialah perkhemahan. Rekreasi bagi individu berkeperluan khas dapat mendedahkan diri dengan pengalaman baru dan menyeronokkan. Individu berkeperluan khas mengikut Abdullah Yusof et al. (2006) terdiri daripada lapan kategori iaitu kurang upaya fizikal dan kesihatan, kurang upaya pembelajaran, gangguan emosi dan tingkahlaku, pintar cerdas, kurang upaya mental, kurang upaya petuturan atau bahasa, kurang upaya penglihatan dan kurang upaya pendengaran. Rekreasi luar seperti perkhemahan pada asasnya boleh didefinisikan sebagai penggunaan sumber-sumber luar daripada bilik darjah untuk mencapai matlamat dan objektif pendidikan, Richard G. Kraus (1995). Ianya  merupakan suatu aktiviti yang menarik yang mana ia boleh dijalankan dengan pelbagai aktiviti seperti, aktiviti sosial dan aktiviti ibadah selain untuk pendidikan. Dalam dunia pendidikan ia disifatkan sebagai merentas kurikulum.

  SUKANEKA
Aktiviti ini boleh membentuk kecederasan kanak-kanak ini. Mereka akan lebih bersifat aktif dengan fizikal yang kuat dan sihat.Mereka akan berasa seronok dengan aktiviti ini. Sukaneka ini  merupakan salah satu aktiviti yang dirancang bagi memenuhi tunjang perkembangan fizikal dan kesihatan. Aktiviti ini juga dilakukan oleh kebiasaan  kanak-kanak untuk bermain, berseronok dan mengisi masa lapang. Bagi kanak-kanak dengan keperluan khas, bermain bukan sahaja menyeronokkan malah terapeutik. Mengikut terjemahan Kirk (1993), kanak- kanak berkeperluan khas ialah kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak sederhana ataupun biasa dari segi kognitif, keupayaan deria, ciri-ciri fizikal, tingkah laku sosial dan emosi, keupayaan komunikasi dan pelbagai lagi.  Sebenarnya, bermain merupakan salah satu bentuk terapi yang digunakan oleh
 pakar tertentu untuk berinteraksi dengan kanak-kanak ini serta membantu mereka meluahkan perasaan dan emosi. Walaupun mereka mungkin tidak bersedia untuk bermain, namun mereka perlu bermain untuk mengembangkan kemahiran motor kasar dan halus serta perkembangan deria mereka.

 MERENTAS HALANGAN
Aktiviti merentas halangan ini merupakan aktiviti yang agak mencabar. Ia melibatkan kekuatan dan ketahanan mental dan fizikal. Selain itu aktiviti ini penting bagi membentuk kecergasan seseorang individu serta semangat kerjasama dalam menjalankan aktiviti. Kebiasaanya aktiviti ini dijalankan secara latihan individu dan berkumpulan yang mana mereka perlu melepasi setiap halangan yang dibentuk iaitu sekurang-kurangnya 7 halangan. Contoh aktiviti halangan ini adalah seperti memanjat tembok, bergayut, merangkak bawah dawai duri, titi goyang dan berbagai lagi.

LATIHAN DALAM KUMPULAN(LDK)
Antara aktiviti yang dijalankan dalam aktiviti LDK adalah aktiviti berkumpulan dalam melaksanakan sesuatu permainan dan kegiatan di bawah penyeliaan dan bimbingan seorang pemudah-cara atau fasilitator. Aktiviti LDK ini boleh melatih kanak-kanak berkerja dalam kumpulan dengan saling bantu membantu, tolong menolong dan berani mengeluarkan pendapat. Tujuan diadakan aktiviti ini adalah untuk memberi pendedahan dan pendidikan mengenai sesuatu isu, membina jatidiri dan keyakinan kepada pelajar untuk mengeluarkan pendapat dan idea.

AKTIVITI KECERGASAN FIZIKAL
Kecergasan fizikal adalah kemampuan dan kebolehan seseorang melakukan aktiviti seharian tanpa merasa letih serta masih mempunyai tenaga untuk melakukan aktiviti kesenggangan. Kekurangan aktiviti fizikal boleh menyebabkan penurunan prestasi paru-paru dan saluran darah tersumbat dengan kolesterol. Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakupayaan fungsi seperti masalah jantung, tekanan darah tinggi, aterosklerosis dan lain-lain masalah pengaliran darah. (Falls , 1980). Aktiviti fizikal ini termasuklah duduk, bangun, berjalan, melompat , berlari, mendaki dan lain-lain lagi.Antara contohnya ialah seperti aktiviti senamrobik, merentas halangan dan mendaki gunung . Aktiviti ini juga dapat mengasah kemahiran motor kasar murid berkeperluan khas. Contoh aktiviti ini adalah senamrobik, jogging, latihan jeda dan lain-lain lagi.

KEMBARA HUTAN
Aktiviti ini melatih kanak-kanak mematuhi arahan yang diberi. Mereka juga dilatih untuk mempunyai ketahanan diri dan fizikal serta mental. Aktiviti kembara ini melibatkan aktiviti berjalan atau pergerakan secara individu dan berkumpulan. Ia biasanya mempunyai matlamat tertentu di akhir aktiviti ini. Ia juga perlu melepasi sesuatu halangan serta mencari sesuatu dalam mengikuti arahan yang telah ditetapkan. Aktiviti ini biasanya menekankan konsep aplikasi pengalaman dan pengetahuan serta kerjasama dalam kumpulan. Contoh aktiviti ini adalah mendaki bukit atau gunung atau ekspedisi pendakian dan ekspedisi berbasikal.

MALAM PERSEMBAHAN ATAU MALAM KEBUDAYAAN
Aktiviti ini dapat mengembangkan kebolehan murid disamping menonjolkan bakat kanak-kanak. Mereka juga dilatih bersikap berani berhadapan dengan orang ramai atau penonton. Mengikis sikap malu dan membentuk keyakinan diri.

AKTIVITI KRAFTANGAN
Melatih murid belajar sesuatu kemahiran yang berguna untuk mereka. Disamping membentuk minat aktiviti ini juga memdidik sikap tekun kepada mereka. Mereka akan lebih besifat sabar dan teliti dalam melakukan sesuatu kerja.

KEPENTINGAN REKREASI DALAM PEMBANGUNAN DOMAIN PSIKOMOTOR, KOGNITIF DAN MURID PENDIDIKAN KHAS

7.1  ASPEK KOGNITIF

Rekreasi adalah penting dalam pembangunan kognitif yang melibatkan beberapa aspek penting seperti pengumpulan pengetahuan dan keupayaan berfikir serta menginterprestasi. Dengan kata lain pembangunan kognitif melibatkan rangsangan pemikiran yang terdiri daripada elemen penyelidikan, kreativiti, perkaitan, kebolehan, pengamatan dan pengukuhan. Hal ini demikian kerana rekreasi berperanan dalam membimbing kemhairan kognitif murid menginterprestasikan kemahiran mereka dalam pelaksanaan aktiviti.

7.2  ASPEK PSIKOMOTOR

Apek psikomotor menumpukan kepada kuantiti pergerakan yang dipamerkan. Psikomotor ini melibatkan beberapa prinsip asas seperti kekuatn, kelenturan, daya tahan kardiovaskular dan otot, ketangkasan, kepantasan dan kelajuan. Ini bermakna kesesuaian aspek ini perlu difokus untuk meningkatla kemahiran ini kepada murid berkeperluan khas.

7.3  ASPEK AFEKTIF

Matlamat utama yang diingini dalam aktiviti rekreasi luar seperti perkhemahan biasanya tertumpu kepada perkembangan individu dan kemahiran bersosial. Perkembangan individu melibatkan sikap, emosi, apresiasi, nilai dan pembentukan sahsiah. Kemahiran bersosial melibatkan interaksi dan corak komunikasi dengan orang lain. Seperti yang kita sedia maklum, sebahagian daripada murid berkeperluan khas menghadapi masalah dalam aspek ini. Keadaan ini akan memberikan kesan yang besar kepada mereka apabila mereka tamat persekolahan. Hal ini demikian kerana, tanpa kemahiran komunikasi yang baik mereka sukar utnuk emndapatkan pekerjaan dan berinteraksi dengan orang ramai.

8         FAEDAH AKTIVITI REKREASI

Terdapat 5 komponen yang ditekankan dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama dalam Falsafah Pendidikan Negara iaitu jasmani, emosi, intelek, rohani dan sosial. Aktiviti rekreasi berupaya menyediakan murid berkeperluan khas komponen-komponen ini. Faedah-faedah tersebut dibahagikan kepada beberapa aspek antaranya

8.1   FIZIKAL

Ø  Melahirkan murid yang cergas dan sihat
Murid yang sering terlibat dengan aktiviti fizikal dapat menjadi sihat berbanding rakan-rakannya yang lain. Selain itu, mereka juga dapat mengembangkan pemikiran mereka dengan melakukan aktiviti yang melibatkan penggunaan aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Selain itu, pengeluaran toksik dalam badan juga berlaku yang boleh memberi kesan kepada pelajar untuk menjadi lebih sihat. Pengeluaran toksik berlaku melalui peluh yang keluar daripada badan apabila melakukan aktiviti rekreasi seperti sukaneka dan bersenam. Dengan ini murid akan berasa lebih cergas dan menjadi lebih proaktif di dalam kelas di samping membantu meningkatkan jangka hayat murid berkeperluan khas,

Ø  Meningkatkan kemahiran motor halus
Kanak-kanak berkeperluan khas ini berpeluang mengembangkan kemahiran psikomotor dan meningkatkan gerak kerja semasa aktiviti bersama. Melalui aktiviti seperti yang dilakukan dalam Latihan dalam Kumpulan(LDK) memerlukan kemahiran motor halus seperti menggunting, melukis dan mewarna. Selain itu, timbul sifat bekerjasama dan tologn menolong dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan.

Ø  Meningkatkan kemahiran motor kasar
Bagi kemahiran psikomotor kasar seperti melakukan aktiviti senaman pagi, bersukan, membina khemah, jungle treaking juga memerlukan semangat berpasukan yang tinggi, Mereka perlu saling bersefahaman agar aktiviti tersebut mudah dilakukan.Keadaan ini memerlukan pengurusan diri di dalam kumpulan hendaklah cekap, di mana pengurusan masa berkait rapat dengan pengurusan diri


Ø  Membantu mengurangkan penyakit kronik
Selain itu, melalui aktiviti ini juga, ia dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung dan osteoporosis. Murid-murid berkeperluan khas mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengidap penyakit-penyakit kronik seperti ini. Aktivi-aktiviti rekreasi yang bersifat fizikal seperti berjalan, berenang dan berbasikal mungkin dapat mengurangkan risiko bagi mereka mendapat penyakit ini.

Ø  Meningkatkan sistem imunisasi badan
Melalui aktiviti rekreasi juga, mereka dapat meningkatkan sistem imunisasi badan. Kajian menunjukkan perubahan yang positif terjadi kepada sistem imunisasi apabila melakukan aktiviti fizikal yang ringan. Walaupun sistem imunisasi akan kembali kepada paras normal dikemudian hari, tetapi ia telah terbukti bahawa pada setiap sesi aktiviti rekreasi, sistem imunisasi akan meningkat  dan meningkatkan pertahanan terhadap penyakit kemudian (Nieman, 2001)
Ø  Membina kebolehan mental dan fizikal
Apabila menjalankan aktiviti rekreasi seperti berkuda, berenang, berkhemah dapat memberi pengalaman baru kepada murid berkeperluan khas ini dalam membina kekuatan otot seta ketahanan badan, imbangan, koordinasi, fleksibiliti , posisi badan serta ketangkasan murid –murid ini.

8.2   SOSIAL

Ø  Memberikan perasaan selamat dan  diterima dalam masyarakat
Melalui penglibatan dalam acara-acara seperti rombongan, pesta-pesta, pertunjukan, perarakan dan sebagainya, ahli masyarakat setempat dan masyarakat keseluruhannya dapat menanamkan sikap perpaduan yang boleh menghilangkan halangan-halangan sosial seperi kelas sosial dan perbezaan darjat. Sebaliknya, semua itu digantikan dengan rasa penerimaan terhadap kekurangan golongan ini dan membuatkan mereka berasa diri diterima. Perkara ini menyebabkan mereka tidak gusar untuk ikut serta dalam aktiviti rekreasi yang diadakan oleh masyarakat.

Ø  Menggalakkan interaksi sosial
Dengan melakukan aktiviti rekreasi pelajar juga dapat mengembangkan kemahiran sosialisasi mereka dengan berinteraksi dengan para guru dan rakan-rakan mereka di sekolah dengan lebih baik. Dengan ini pelajar dapat mengamalkan sikap perpaduan dan muhibah bersama rakan-rakan mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya apabila mereka saling bekerjasama dan bertoleransi dalam sesuatu aktiviti rekreasi.

Ø  Merapatkan hubungan dengan anggota keluarga
Rekreasi juga boleh memberikan kesan kepada individu yang kemudiannya memberikan kesan kepada orang lain di sekelilingnya pula. Kesan rekreasi kepada pertalian antara anggota keluarga yang berekreasi bersama-sama adalah tidak dapat dinafikan. Melakukan sesuatu bersama-sama, seperti menyediakan makanan untuk berkelah dan mendirikan khemah boleh merapatkan hubungan antara anggota keluarga.


Ø  Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang hak berekreasi golongan berkeperluan khas
Masyarakat perlu diberi pendedahan mengenai kepentingan kanak-kanak berkeperluan khas terlibat dalam aktiviti rekreasi. Melalui cara ini , masyarakat dan kanak-kanak ini akan dapat merasai pengalaman yang positif bersama-sama melalui aktiviti seperti berkhemah, berkelah, bersukan dan sebagainya.

Ø  Kanak-kanak berkeperluan khas diberi hak yang sama untuk berekreasi
Melalui aktitiviti rekreasi, timbul kesedaran dalam diri orang ramai mengenai hak individu yang berkeperluan khas untuk sama-sama terlibat secara aktif bersama masyarakat dan tidak ketinggalan. Penglibatan murid yang normal dan murid berkeperluan khas dalam satu aktiviti rekreasi yang memerlukan mereka berkerjasama dapat membantu individu  yang berkeperluan khas untuk lebih fokus kepada minat mereka dalam aktiviti rekreasi tersebut berbanding kekurangupayaan  yang dihadapi ( Mahon et al, 2000). Hubungan baik  yang terbentuk serta kesedaran dalam diri masyarakat kepada hak murid berkeperluan khas dalam menyertai aktiviti rekreasi, membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti murid yang normal.

Ø  Dapat mengikis pandangan masyarakat bahawa kanak-kanak berkeperluan khas tidak perlukan rekreasi
Apabila pelajar beerkeprluan khas terlibat aktif dalam aktiviti rekreasi maka dapat mengikis tanggapan bahawa kekurangan yang dialami oleh kanak-kanak khas menyebabkan mereka tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti rekreasi. Contoh seperti kemabaran hutan dan sebagainya.

8.3  SAHSIAH

Ø  Melatih kemahiran membuat keputusan berdasarkan situasi dan pengalaman
Aktiviti rekreasi dapat memperkayakan pengalaman pendidikan dan memupuk minat para pelajar supaya memperolehi pengetahuan dan kemahiran. Jika pelajar ditempatkan dalam satu alam sekitar yang semulajadi tanpa kongkongan, mereka dapat mencapai objektif pendidikan dengan mudah. Proses pembelajaran akan meningkat dan mental, fizikal, sosial dan emosi mereka turut berkembang. Kelakuan ini menepati teori Rousseau yang menyatakan bahawa ramai remaja bagi setiap kaum akan dapat mempelajari sesuatu dengan berkesan dalam satu alam sekeliling yang berkesan dan semulajadi.

Ø  Menimbulkan perasaan seronok dan gembira

Aktiviti yang dilaksanakan memberi peluang kepada murid berkeperluan khas untuk meluahkan perasaan, mengurangkan tekanan, menambah keyakinanan diri, bersedia menerima risiko, bersemngat dan berani.Contohnya apabila mereka menjalankan aktiviti seperti kembara hutan. Selain itu mereka meresa bangga akan pencapaian dalam aktiviti tersebut sekaligus meningkatkan perasaan seronok untuk menyertai semula aktiviti rekreasi tersebut.

Ø  Memupuk semangat kesukanan

Selaras dengan hasrat kerajaan iaitu 1 Murid 1 Sukan, maka wajarlah digalakkan penyertaan aktiviti rekreasi  untuk pelajar berkeperluan khas ini.. Walaubagaimanapun harus dipastikan dahulu aktiviti fizikal atau sukan yang ingin dilakukan tidaka akan membahayakan murid ini. Antara aktiviti yang sesuai adalah berkuda, bowling dan berenang. Hal ini kerana aktiviti ini juga memberi terapi kepada perkembangan fizikal pelajar.

Ø  Membina moral yang positif
Program-program yang dilaksanakan banyak memberi impak yang positif kepada murid berkeperluan khas ini. Antaranya meningkatkan nilai moral yang baik seperti kerjasama, tolak ansur, dan berani. Contohnya menjalankan aktiviti  sukaneka , perkhemahan,  kembara hutan semuanya mengandungi nilai yang positif.

Ø  Membina keyakinan diri dan penghargaan kendiri
Selain dari meringankan tekanan yang dihadapi oleh mereka, aktiviti rekreasi juga dapat meningkatkan keyakinan diri mereka. Hal ini terbukti melalui kenyataan oleh Frank & Gustafon (2001), aktiviti fizikal secara konsisten dapat meningkatkan keyakinan diri seseorang. Hal ini penting dalam konteks murid berkeperluan khas kerana apabila mereka dapat meningkatkan sesuatu kemahiran mereka pada tahap tertentu serta berjaya dalam sesuatu aktiviti rekreasi, mereka  akan membina keyakinan diri mereka dimana ia akan mempengaruhi kehidupan mereka dari segi cara mereka bekerja dan  hubungan mereka dengan keluarga dan masyarakat.

Ø  Meingkatkan pengetahuan dan kemahiran memimpin
Apabila mereka menjalankan aktiviti rekreasi yang melibatkan Latihan dalam Kumpulan secara tidak lansung akan ada yang dipilih menjadi ketua. Jadi dengan adanya aktiviti ini dapat memberikan pengalaman kepada murid cara mempimpin sesebuah kumpulan. Sekaligua pengetahuan sebagai seorang pemimpin dapata diterapkan dalam kalangan murid berkeperluan khas ini.

Ø  Memupuk sikap menjaga kesihatan
Selepas setiap aktiviti dilakukan lazimnya murid-murid berkeperluan khas akan diajar untuk membersihkan diri seperti mencuci tangan, mandi, menggosok gigi , menyikat rambut dan lain lagi. Mereka juga akan dibimbing untuk membasuh pakaian sendiri.

8.4   EMOSI

Ø  Mengurangkan tekanan murid berkeperluan khas
Pembelajaran di sekolah boleh menjadi satu perkara yang membebankan kepada murid berkeperluan khas kerana mereka menghadapi masalah untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajran yang dijalankan di dalam kelas. Murid-murid akan berasa tertekan dengan latihan dan tugasan yang diberikan oleh guru. Oleh itu, aktiviti yang dilaksanakan boleh membantu murid berkeperluan khas unutk mengatasi tekanan dengan melakukan aktiviti yang menyeromokan seperti membuat kraftangan dan menyanyi.

Ø  Mengikis perasaan malu
Ssesetengah murid khas malu hendak melakukan aktiviti seperti melompat, berlari kerana kurang keyakinan dan khuatir diketawakan rakan. Dengan adanya sokongan, layanan yang mesra daripada guru, fasilitator  dan rakan-rakan maka dapat mengelakkan rasa rendah diri kerana kekurangan yang dihadapi.

Ø  Melatih untuk rasa bertenang
Murid berkeperluan khas yang menghadapi masalah ADHD dan tingkahlaku biasanya huru –harakan keadaan . Melalui penglibatan aktif murid ini dalam aktiviti rekreasi sekaligus membawa mereka untuk melupakan segala peristiwa yang berlaku. Selain itu melalui aktiviti rekreasi ini juga dapat menepati masa dan sabar kerana harus menunggu giliran basuh pinggan sama juga sewaktu mengambil makanan.

Ø  Mengelak daripada rasa disisihkan
Apabila murid-murid berkeperluan khas ini menjalankan aktiviti rekreasi seperti latihan dalam kumpulan mereka akan dibahagikan kumpulan secara rawak. Disebabkan itu dalam satu kumpulan akan ada murid yang berbeza, latar belakang, jantina dan etnik. Selain tiu jika libatkan murid tipikal dalam kumpulan dan mereka dapat bekerjasama dengan baik maka dapat mengelakkan rasa disisihkan dalam masyarakat. Contohnya murid Sindrom Down terkenal dengan sifat mudah mesra jadi jika murid tipikal dapat menerima mereka dengan ikhlas maka perasaan yakin diri mula berkembang di dalam diri murid berkeperluan khas.

Ø  Membantu menstabilkan emosi

Apabila seseorang pelajar sentiasa aktif dalam sukan rekreasi, pelajar tersebut akan dapat mengawal emosinya dengan lebih baik. Ini kerana pelajar dapat berfikir dengan tenang dan menyelesaikan masalah dengan baik. Maka dengan itu pelajar tersebut tidak akan banyak menimbulkan masalah di sekolah.

8.5   BAHASA

Ø  Meningkat kemahiran berkomunikasi
Murid-murid berkeperluan khas menghadapi masalah dalam bersosial dan berkomunikasi. Dengan adanya aktiviti rekreasi dapat membantu mereka untuk mengembangkan kemahiran komunikasi tersebut kerana mereka perlu bekerjasama dan saling bertanya sesame ahli kumpulan dan fasilitator aktiviti. Oleh itu Fasilitator perlu memainkan peranan dalam menggerakan proses komunikasi murid berkeperluan khas ini.

Ø  Meningkatkan kemahiran bahasa
Sebahagian murid berkeperluan khas mengalami keadaan sukar dalam menghasilkan perkataan untuk menyampaikan sesuatu pandangan atau kesukaran memahami pertuturan . Antara masalah yang dihadapi ialah sengau dan gagap.  Mereka mengambil masa yang agak lama untuk memahami apa yang disampaikan oleh orang yang bertutur. Sewaktu menjalani aktiviti rekreasi kemahiran komunikasi diperlukan dalam kumpulan, jadi perlunya kerjasama semua ahli kumpulan untuk bersama menyumbang idea dan pendapat. Fasilitator bermain peranan dalam sentiasa berkomunikasi dengan murid ini supaya mereka berani untuk bertutur. Menurut teori pembelajaran bahasa behavioris , murid-murid perlukan ransangan dan belajar daripada pemerhatian. Jadi dengan mengikuti aktiviti rekreasi mereka dapat kenal dengan orang sekeliling dan menangkis rasa malu yang hadir dalam diri atas kekurang yang dihadapi.







9        KESIMPULAN

Menurut Holah (2005), Freud, sebagai teori pembangunan psikologi kanak-kanak telah menekankan bahawa dengan bermain, seseorang kanak-kanak itu akan menjadi lebih bertanggungjawab dan belajar serta berusaha untuk mencapai matlamat yang diingini. Ini kerana dalam sesuatu permainan terutamanya yang bersifat berkumpulan, terjalin kerjasama antara individu untuk mencapai matlamat iaitu menang. Dalam kerjasama tersebut juga, sifat peneraju atau kepimpinan akan terbentuk dalam diri segolongan kanak-kanak, manakala sikap penyokong pula akan terbentuk dalam diri segolongan yang lain.

Aktiviti rekreasi yang dibina untuk golongan berkeperluan khas ini haruslah dirancang supaya dapat memenuhi minat, kehendak dan kebolehan mereka. Disamping itu, dengan adanya penyertaan murid berkeperluan khas ini memberi pelbagai faedah kepada golongan ini dalam meneruskan kehidupan serta membantu mereka berdikari dalam kehidupan agar tidak bergantung kepada orang lain di kemudian hari.















10    RUJUKAN
A.J. Veal. (1992). Definition of  Leisure and Recreation. Australian Journal of Leisure and    
            Recreation. 44-48
N. Thomas & S. Andy. (2001). 1st Ed.  Disability, Sport, and Society: An Introduction. New
York: Routledge Taylor & Francis Group
H. Fitzgerald. (2009). Disability and Youth Sport. New York: Routledge Taylor & Francis
Group.
R. Coleman & M. Chrisman. (2005). The Health and Social Bemefit of Recreation. California:
California State Parks.
Wan Norjihan Bt Wan Abdullah. Panduan Menjadi Fasilitator. PTS Publications Sdn Bhd.
Chek Mat . 2001. Pengurusan Rekreasi : Kuala Lumpur. Utusan Publications  & Distributor
              Sdn. Bhd.
Azilah Kasim, Raslinda Mohd. Ghazali. 2006. Kepentingan, Peranan, dan Isu-Isu
Pengurusan Rekreasi. Sintok. Penerbit UUM
Diane Nahl, Dania Bilal . 2007.Information and Emotion: The Emergent Affective Paradigm in 
          Information .Information Today Inc. 
Manisah Mohd Ali, Mohd Mokhtar Bin Haji Tahar. 2010 . Kepentingan Rekreasi Kepada
          Kanak-kanak Berkeperluan Khas. Fakulti Pendidikan UKM.

Salehudin, J. 2009. Kecergasan fizikal dalam sukan (Eds). Selangor: Karisma Publications.

No comments:

Post a Comment